Friday, December 28, 2012

Mengai atau memancing



Mengai tu samalah maksud dengan memancing. Dah lama dah ayah Azim duk ajak ikut p mengai ni. Tp aku memang macam tak boleh nak layan aktiviti ni. Orang yang mengai seronok lah layan rod dia. Kita yang duk menunggu ni macam tak tau nak buat apa. Nak tumpang mengai sekali satgi mesti berebut dengan Azim. Risau pulak aku kang rod kemana aku dan Azim ke mana. 

Setelah dipujuk-pujuk akhirnya aku terpujuk juga sebab kesian pulak sebab dah lama duk ajak mengai kat tali air kawasan bendang. Sekarang ni kat area rumah aku memang macam pesta kat area bendang tu. Sebelum ni pun aku pernah buat entry pasal hobi orang kawasan Jitra ni apabila hampir tiba dan semasa musim menuai.

Aku dengan Azim lepak dalam kereta ja. Dalam sejam jugak duk tunggu ayah Azim mengai tu. Hasil? Tak dok....hahaha..kena balik beli kat pasar lah. Tp oklah sekurang-kurang ada orang tu dapat lepaskan gian nak pegang rod.





Cantik pulak warna biru awan tu

Thursday, November 22, 2012

Percaya Dan Tawakal



Semalam sedang aku berjalan-jalan melenggang kangkung untuk turun mencari sesuap nasi (sesuap ker? buka sepingan..:) ) tetiba ternampak pemandangan di bawah ni. 
Oitt...aku macam confius. Dari pemandangan aku rasanya buku dan beg. 
Mungkin beg student. tapi terfikir juga kenapa tinggal di sini.
Nak kata student ke toilet, tak mungkin sebab toilet bukan di situ. 
Tapi aku nampak kasut.
Ooooo...mungkin student jumpa lecturer kot.
Tapi otak yang rajin sangat fikir ni still berfikir
apasallah budak ni tinggalkan beg kat sini




Bila makin dekat, aku nampak dia tinggalkan sekali laptopnya
Korang nampak tak yang si hitam manis tu.
Itu laptop ya.
Aduihhh..kaya sungguh gerangan pemilik segala harta benda ini
Dia begitu yakin dan PERCAYA bahawa persekitaran yang dimiliki adalah selamat
dan sentiasa BerTAWAKAL di dalam setiap perbuatannya. 
Amin, moga2 apa yg difikirkan oleh pelajar itu menjadi doa dan diperkenankan oleh ALLAH
dan menjadikan kawasan sekitar ini bebas dari kegiatan mencuri dan mengambil harta benda milik orang lain. 


Atau adakah ini perangkap? CCTV dipasang untuk melihat adakah sesiapa yang berminat untuk mengambil barang-barang tersebut..
Ohhhh...tidak kalau ada CCTV mesti aku kena gelak sebab aku duk terhegeh-hegeh di situ mengambil gambar..
Dah terjebak ngan dunia blogger macam tu la. Semua nak ambil gambar. 

Monday, November 19, 2012

Tekanan...kebimbangan...kemurungan


Siapa yang tak pernah menghadapi tekanan?
Rasanya semua orang pernah berhadapan dengan situasi ini. Tekanan dapat mendorong seseorang kepada aspek positif atau negatif.
Dari aspek positif, tekanan mampu mendorong kita untuk lebih berusaha untuk berjaya.
Dari aspek negatif pula tekanan mendorong kita menjadi lebih bermasalah, sentiasa dalam keadaan bimbang dan seterusnya menjadi lebih teruk lagi kita mengalami simptom-simptom kemurungan.
Apasal tetiba aku bercakap pasal tekanan, kebimbangan dan kemurungan?
Hahaha sebabnya itu adalah tajuk kajian aku. Aku terlibat di dalam cabaran ini.
Pada saat ini aku tertekan. Tetapi tekanan ini membuat aku lebih bekerja kuat untuk menyiapkan tesis aku dengan lebih cepat. Aku juga menjadi lebih berusaha untuk menghasilkan yang terbaik untuk semua yang menyokong dan percaya kepada keupayaan dan kemampuan aku.
Dari dahulu lagi tekanan membuat aku lebih bertenaga.
Bimbang itu tetap ada. Bimbang seandainya aku mengecewakan orang-orang yang mempercayai aku.
Tetapi Insya Allah aku mampu mengawal diriku daripada menjadi murung. Dan aku sentiasa berdoa semoga diberikan kesihatan yang baik sepanjang masa.
Kajian aku masih diperingkat permulaan. Insya Allah juga akan aku kongsikan di sini setiap peringkat kajian sehingga akhir.
Doakan semoga aku mampu menyiapkan kajian ini. Lagi cepat habis lagi cepatlah aku bergraduate - tau tak per. Walaupun cepat siap aku tetap akan berusaha untuk menjadikan kajian ini berkualiti.

STRESS
 
ANXIETY (KEBIMBANGAN)
DEPRESSION (KEMURUNGAN)


JANGAN BIARKAN TEKANAN DAN KEBIMBANGAN BERTERUSAN
BE HAPPY....... ;)

p/s: always try to be positive and happy. walaupun stress selalu cuba menjenguk tirai kehidupan ku.. hehehehe

Thursday, November 8, 2012

Que Sera Sera






Aku suka lagu ni. Cute  
Jom layan. Ada lirik sekali. 
Ni lagu lama nih. Lagu Doris Day kalau tak salah aku.





Monday, November 5, 2012

Anak Ibu Dah Besar

Sekejap saja masa berjalan dah besar dah anak ibu nih.
Bila mau dapat adik ni? Huhuhu. kalau ada adik tak ler Azim manja sangat. 
Tahun depan Azim dah kami daftarkan untuk masuk sekolah.
Hantar dia masuk play school. Ada yang kata Azim terlalu awal nak di hantar ke sekolah.
Ada yang kata ok dah sesuai. 
Bagi aku, InsyaAllah ok. Aku harap semuanya ok-ok nanti.
Sebab aku nak masukkan dia ke sekolah, nak dia belajar berkomunikasi dan berkongsi dengan orang lain  dan pengenalan alam pendidikan secara formal (kalau aku ajar kat rumah banyak main nyer). 
Buat masa sekarang itu sahaja yang aku harapkan. Aku juga harap supaya dia lebih berdikari. 
Kalau kat rumah dia terlalu manja. Siapa-siapa tengok pun mesti akan kata yg Azim ni pampered.
Tapi dia cukup berdikari kalau ayah pergi berkursus atau out-station. Masa tu dia akan mendengar cakap dan jaga (on his own style) ibu dengan baik. Touching. 
Tapi bila ayah balik siaplah. Dia akan merajuk sesungguh hati dan sikit-sikit nangis. Semua tak kena.
Sampai ayah kena cakap "Azim, ayah dah balik ni. Ayah minta maaf yer sebab pi kerja jauh lama."
Baru lah dia akan angguk dan terus peluk ayah. Ohhhh.....
Lepas seminggu tu Azim akan mengawasi ayah. Ayah nak p mana? Tengah lena pun dia boleh mengigau panggil ayah. Selalunya first day lepas ayah balik tengah-tengah tido dia boleh bangun dan cari ayah. 
Dah nampak ayah, then baru dia akan tido balik.

Merajuk sebab ayah pi kerja lama


CIC Darulaman tu dekat jer pun dengan rumah. Dengan tempat kerja ayah pun dekat. Kalau ikut jadual kelas mula 8.30 pagi sampai 12.30 thari. Aku ambil pakej mutiara. Pakej permulaan jer. Tak sampai hati pulak nak paksa dia stay lama-lama di sana. Mungkin tahun depan aku boleh tambah pakej KAFA pulak pada sebelah petang tengok macam mana nanti. Bergantung kepada penerimaan Azim macam mana.
Tak sabar pun ada. Teruja. Cemas pun ada. Tak boleh jangka apa reaksi Azim nanti. Cuma sekarang ni dia asyik minta nak p school lepas briefing and registration day haritu. 
Semoga Azim boleh adapt situasi persekolahan dan dia enjoy.

pandai simpan kasut sendiri masa mula-mula sampai di CIC masa sesi taklimat dan pendaftaran sebelum Aidil Adha haritu. 

semangat tu. Bye ayah, azim pi school dulu. Nanti jangan lupa ambik azim.
Wahh kau Azim, harap-harap terusla macam ni yer. Jangan sampai masa nanti menangis meraung pulak.
Ayah dan ibu dulu pergi sekolah tak menangis pun. Cool saja. 



Wednesday, October 24, 2012

Motivation





Sekarang ni aku memang sangat-sangat perlukan motivasi, semangat dan kekuatan. Mentor aku cakap nak berjaya kena kuat semangat. Kadang-kadang rasa macam lemah, macam nak give up. Tapi mesti kena teruskan. Jom kita sama-sama motivasikan diri kita untuk apa juga cita-cita dan usaha kita. Sama-sama kita berjaya. Caiyok! Caiyok! (Azim selalu cakap caiyok! caiyok! ibu).

If you feel that you're very down
Just close your eyes and say:
"This is my journey, HE puts me here. It's HIS plan. So I've to carry on and trust HIM"

I don't know who I will be
and I don't know where I will be 
But I know that Allah will choose
what's good for me.. 



Hahaha..dalam hati mesti cakap apasal duk berdiri lama-lama kat sini nihh...Haishhh dah la tak tau nak jawab


Moment yang paling best. Kita berlumba untuk memberi jawapan tanpa peduli betul atau salah




Friday, October 19, 2012

Pokok Boabab Dan Magadaskar





Madagascar – Sebatang jalan di sini dibarisi 313 pokok gergasi dikenali sebagai Baobab yang tumbuh setinggi 20 meter. 
Hidup sejak 800 tahun dahulu, pokok baobab digelar ‘pohon abadi’ di kalangan penduduk tempatan.
Namun, beberapa tahun lalu, kewujudan tumbuhan tersebut di kawasan ini yang dikenali sebagai Lebuh Baobab terancam.
"Sebuah kilang gula berdekatan mengalirkan air ke kawasan ini dan penduduk menggunakan air tersebut untuk menanam padi. Akar pokok-pokok baobab mereput akibat ditenggelami air sepanjang tahun,” kata seorang aktivis alam sekitar tempatan, Anselme Tilahimena.
Menurutnya, nasib pokok-pokok baobab kembali cerah apabila pihak berkuasa mewartakan lokasi berkenaan sebagai kawasan lindungan pada 2007 (Kosmo, 2012)

 Bila tengok gambar ni


Tetiba aku teringat ini....
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.

Cute kan...





Thursday, October 18, 2012

Ohh...Saya Lemah Bahasa Inggeris








Entah kenapa dan di mana salahnya.

Dari Tadika dah sampai ambik master ni tak pandai-pandai jugak Englishnya.
Ohh..sungguh tensen dan rendah diri bila berada dalam kelas Academic Writing.
Dalam kelas aku ada yang ambik Applied Linguistic dan Translation. Haruslah penguasaan Bahasa Inggerisnya tip top.
Hahahaha..tapi belasah juga cakap masa dalam kelas. Chilll lahh... 
Dalam kelas mestilah aktif sikitkan. Markah tu.
Kenapa aku rasa komunikasi itu lagi mudah dari menulis.
10 tahun lepas, lepas grad English hanya di gunakan untuk berkomunikasi dengan customer
dan juga bila buat report atau buat surat. 
Komunikasi boleh pandai pun mungkin sebab selalu kena ayat sinis dengan customer
"English please" ..."Can u speak English"..Ok..ok..
Kalau buat surat tu macam pejam mata jelah kan. Surat formal standard jer ayat-ayat diakan
Hahaha..budak SPM pun pandaikan.
Tup-tup sekarang ni aku kena belajar balik English untuk tujuan penulisan tesis.
Sungguh aku rasa macam... Blur nya. 
Ohh Aku tak faham.
Tak pandainya aku. 
Yang paling best semalam lecturer ajar aku paraphrasing.
Aku dah confuse antara paraphrasing dengan summarizing.
Aku cakap kat akak sebelah aku.
"Kak Nor, apasal nak kena buat ayat susah-susah sangat ni. Canggih-canggih ayat ni. Guna ayat-ayat biasa tak boleh ker?" Terfikir juga aku, sama ada aku ni malas berfikir atau aku tak pandai ni. 
Sedih. Stress. Depress. Hahahaha...
"Ala dik, mestilah Dr. N ajar ayat-ayat yang canggih. Sekarang kan kita tengah study untuk master"
"Ohh..tak sama yer kak?"Hahaha..padan muka aku.
Serius rasa otak sekarang macam tepu sangat. Boleh aku baca satu paragraph tu sampai habis, pastu aku fikir apa maksud ayat ni. 
Sekarang baru aku tahu apa perasaan orang yang buat master full research dan juga PhD. 
Banyaknyer yang aku kena baca.





Pasal penguasaan Bahasa Inggeris ni, rasanya kesalahan adalah terletak di atas bahu aku sendiri. 
Dari tadika sampai SPM, mungkin aku tak belajar bersungguh-sungguh.
Mungkin kerana faktor persekitaran. Walaupun ayah aku mempunyai kemahiran Bahasa Inggeris yang cemerlang tetapi mungkin bahasa pengantaraan di rumah adalah Bahasa Melayu jadi kami jarang mempratikkan. Tengok tetap nak salahkan orang lain jugak. Kesalahan sendiri tak mau mengaku. 
Mungkin juga aku malas membaca bahan bacaan Bahasa Inggeris. 
Nak kata di sekolah. Kebanyakkan cikgu dan kawan-kawan banyak yang berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris.

Punyalah aku duk melayan perasaan masa dalam kelas tu.
Argghh...menguap berkali-kali. Mengantuk ker bosan ni. 
Terfikir juga apa aku nak buat supaya Azim nanti tak jadi macam aku. Hehehehe...
Pendekatan apa aku nak buat yer untuk Azim.
Supaya dia rasa enjoy tak ler terpaksa. Bila belajar dalam keadaan enjoy mesti lebih mudah untuk menguasai   sesuatu tu kan. Bukan belajar untuk exam saja kan.

Ada idea tak macam mana nak memperbaiki penguasaan Bahasa Inggeris aku?



Tuesday, October 16, 2012

KFC zinger double down







Korang dah pernah cuba?
Siapa2 yang suka makan ayam goreng mesti akan suka
Tapi aku kurang suka, aku lg suka zinger burger yang ada roti tu
Minggu lepas masa balik dari kelas
Kelam kabut aku nak bersilat di dapur untuk prepare dinner
Tetiba ayah Azim cakap tak payah masak kita makan KFC nak dak?
Aku ni kalau makan semua ok jer tambah pulak orang belanja mesti nak
Take away jer, makan kat rumah la best sebab boleh makan dengan santai sambil bergolek2 depan TV
Punya tamak beli sorang satu
Baru makan setengah dah pandang memandang
Boleh pulak pegi ambil roti
Lepas makan terus pening..Huhuhu
Kesimpulannya lepas ni kalau nak beli, sila beli satu dan kita berkongsi yer
Kongsi boleh berjimat dan menambahkan kasih sayang 
Boleh kesitu pegi nyer
Tapi pada yang memang suka makan ayam goreng 
Mungkin ini menu yang sepatutnya menjadi pilihan anda




Monday, October 15, 2012

Kan Molek Gitu...


Selalulah ucapkan terima kasih dan boleh tolong saya apabila melibatkan hubungan dan komunikasi dengan orang lain.
Walaupun kita adalah orang yang kaya, berpangkat besar dan berdarjat tinggi. Kita akan lebih dihormati dan dihargai.
Nilai diri kita pun akan dipandang tinggi dan mulia.
Sebagai contoh, bila berurusan di kaunter aku cuba mulakan dengan ayat "MAAF yer, saya nak tanya sikit, kalau nak beli setem perlu ke kaunter berapa yer?" Pasti muka staff yang jaga kaunter tu mesti akan lebih manis sikit.
Tak salah rasanya kalau kita merendah diri sikit.
Kalau pun dia menjawab dengan nada kasar "KAUNTER 3"
"Kaunter 3 yer, terima kasih", tak salah rasanya kalau kita berikan ucapan terima kasih walaupun cara staff tadi macam layan tak layan saja.
Sikap dan tingkatlaku kita melambangkan diri dan jati diri kita.
Kalau kita adalah ibu dan bapa bukankah ini satu contoh yang terbaik untuk anak-anak.
Kadang-kadang ada juga rasa panas hati bila kita berurusan dengan orang yang kurang adapnya, tapi aku cuba juga ucapkan terima kasih walaupun pitching dia tinggi sikit ;).

Tuesday, October 9, 2012

Kuih Lapis




Entah macam mana tetiba datang pulak mood rajin melapis nih..
Ni gara-gara ternampak atie-anizam melapis kuih lapis pandan lah ni..Terus jadi terliur.
Untuk resepi kuih lapis ni aku juga resepi dari blog periuktanah. 
Azim memang suka kuih lapis coklat nih. Tapi kalau aku pulak lebih suka yang tradisional tu yang kaler merah dan putih tu. 
Sambil makan kuih lapis bertemankan teh O panas, sungguh melayan perasaan di petang hari. 



Resepi yang aku letak kat sini untuk kuih lapis merah putih tapi aku menderhaka sikit sebab tukarkan pewarna merah tu dengan coklat emulco. Terima kasih Kak Ani (periuktanah). Saya pinjam resepi yer. 

Bahan-bahan
1 cawan tepung beras
2 cawan santan sederhana pekat (caranya-campurkan 1 cawan santan pekat dengan 1 cawan air)
2 sudu besar tepung gandum
2 sudu besar tepung jagung
1/2 cawan gula pasir- boleh kurangkan 1 sudu besar jika ingin kurang manis
1/4 sud teh garam
sedikit pewarna merah dan perisa ros

Cara membuatnya:

1. Panaskan pengukus dan sediakan loyang berukuran 7 inci. Masukkan santan ke dalam periuk. Panaskan sebentar biar jadi suam-suam kuku. Tutup api.

2. Masukkan tepung beras, tepung gandum, tepung jagung, gula dan garam ke dalam mangkuk. Masukkan santan. Gaul rata hingga tidak berbintil.

3. Bahagikan adunan kepada 2 bahagian. (adunan ini menghasilkan lebih kurang 600ml bater) bahagi kepada 300 ml +/- setiap satu. Warnakan satu bahagian dengan warna merah dan letakkan perisa ros.

4. Masukkan loyang ke dalam kukusan. Tuang 100 ml adunan tanpa warna ke dalam loyang. Kukus selama 5 minit dengan api kuat. setelah lapisan pertama masak, tuang 100ml adunan merah. Kukus lagi. Ulang proses hingga habis 6 lapisan dengan diakhiri dengan lapisan merah.  tambah sedikit lagi pewarna merah untuk lapisan akhir agar warnanya lebih menyerlah.

5. Setelah siap, sejukkan kuih lapis sebelum dipotong. 






Monday, October 8, 2012

Segmen Mialiana.Com - Mari Berpantun










Semalam sambil jalan-jalan lawat blog kawan-kawan tetiba tertarik pulak nak join Segmen Mialiana.Com - Mari berpantun. Dah lama rasanya tak mengarang pantun nih. Seronok pulak sesekali berpantun.
Menarik juga idea Mialiana ni menghidupkan kesusasteraan Melayu dalam alam cyber ni. Harap-harap menjadila pantun saya ni yer..

 Pergi ke kedai membeli cuka, 
 Cuka setitik perencah rasa; 
 Pantun gurindam syair seloka, 
Jadi perencah indahkan bahasa.  

Ewahhhhh...Cik Mia jual saya cuba membeli ya...


Pertanyaan
Malam-malam pergi kedai nyonya
Kedai jauh naik kereta Waja
Andai Mia ingin bertanya
Apakah nama panggilan manja

Jawapan
Kekedai nyonya dengan mak jenab
Pergi bersama dengan anuja
Mia bertanya saya menjawab
Nama ana panggilan manja

Pertanyaan
Kepala pening berpinar-pinar
Penat sungguh berlatih yoga
 Jangan malu jawablah benar
Adakah bujang atau berkeluarga

Jawapan
Memetik bunga di tengah laman
Mari memetik bunga kenanga
Tidak malu tidak segan
Diri ini sudah bekeluarga

Pertanyaan
Langit cerah indah warnanya
Ambil gambar rasa teruja
Ingin juga tahu statusnya
Sedang belajar atau bekerja

Jawapan
Niat di hati ingin belayar
Belayar bersama kaum keluarga
Sambil bekerja sambil belajar
Semoga hal rumahtangga turut terjaga

Pertanyaan
Buat kopi pekat-pekat
Makan roti dengan tuna
Adakah jauh adakah dekat
Tinggalnya di negeri mana

Jawapan
Menyimpan mangga di atas para
Di simpan bersama buah ceri
Asalnya jauh nun di utara
Negeri Kedah nama diberi
This entry was posted in

Sunday, October 7, 2012

Student?




Memang lama sungguh blog ni sepi.
Bersawang jangan cakap la.
 Aku ada melawat blog kawan-kawan sekali, tapi aku jarang meninggalkan jejak...nak jadi stalker kot...hahahaha...
Nak update blog macam tak ada mood. Atau aku sebenarnya macam dalam mood terkejut atau mood serabut bila jadi student balik.
Persoalan aku jadi student balik? Student? Study... Berapa banyak soalan pun, sekali dah melangkah dengan keputusan untuk belajar balik mesti kena teruskan dan azam dalam hati ingin buat yang terbaik.
Bukan mudah rupanya menjadi seorang pelajar yang dalam masa yang sama memegang tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan pekerja...
Bila mulut ingin mengeluh mesti cepat-cepat hati ingatkan "inilah dugaan yang aku harus hadapi, dan ini yang aku pilih"
Setakat sekarang kata-kata tu masih lagi mampu membuat aku cool..Tetiba terfikir cool blog atau each a cup pulak...kalau pekena ni best nihh.. Keserabutan buat aku macam blur seketika..
Blur sebab ...
- dapat surat tawaran terus kena daftar pengajian
- blur sebab kelam kabut kena buat medical check-up serta merta (penat ooo.. berlari berkejaran dengan anak menangis.. nak ibu..nak ibu..mana ibu..risau dia sebab tgk aku masuk tempat buat ujian urine dan x-ray. terus bp aku high..padan muka aku)
- paling blur sebab tetiba kena keluar duit untuk bayaran yuran dan yuran kemasukan (ooo..telan air liur jugak..kahkahkah..)
- lepas daftar kursus terus kena masuk kelas (Oh my english pulak tu, dah ler first day yang ada hanya aku dan international student..OMY..hahaha biru mata hitam ku seketika)
- terkejut masuk kelas lecturer suruh buat short essay, alamak apa aku nak tulis ni (padahal tajuk ala-ala PMR jer..dah bertahun aku keja aku mmg guna english untuk buat surat, report dan cakap dengan customer, tapi haritu mmmg aku blur, macam nak balik saja masa tu)
- kelas research methodology pulak lepas 1 kelas lecturer dah minta hantar bab 1 (serius aku serabut, apa aku nak buat ni, teori apa aku nak pakai dalam research aku nih..definisi konsep dan operational pun aku bukan ada lagi..haru-haru..puas bersengkang mata nak siapkan assignment)

Sekarang ni blur tu makin berkurangan..cuma kena cepat-cepat pulihkan semangat..dahlah lepas ja pendaftaran aku, ayah azim kena berkursus pulak dekat INTAN, bukan 2 atau 3 hari, 2 minggu korang tau..puaslah aku marahkan INTAN tu..tapi tak der kesan apa-apa pun marah pada INTAN tu..pujuk hati yang lara angkut beg bagai menumpanglah kami dua beranak di rumah mak bapa aku sepanjang ketiadaan ayah Azim (ohhh..I miss my home very much). Ayah tak dak Azim pulak demam. Ohh..ibukan supermom..don't worry ibu can handle everything ;P.
Minggu lepas ayah Azim dah selamat menamatkan kursusnya, ayah balik ibu terus demam, batuk, selsema dan sakit mata (puas hati punya pakej)..ini namanya balas dendam..ok ayah Azim selamat menguruskan rumahtangga dan anak..ai demam nak rehat...zalim tak?
Korang doakan aku supaya success yer. Pada yang dah selamat habis belajar aku memang kagumlah dengan korang. Baru aku tahu bukan mudah nak belajar bila kita dah berkeluarga.

Kesian korang boring layan karangan aku...Jom layan gambar la pulak...Gambar pun ciput jer...

Inilah insan-insan yang temankan aku masa pendaftaran dan medical check up 


Nombor pendaftaran medical check-up aku. Cantik tak nombor dia. Nombor cantik tapi nurse yang serve aku untuk ambil tekanan darah pun 'cantik' budi pekertinya. Terhina kot rasanya. Dengan student lelaki manis pulak mukanya.Sabar jerlah wahai hati. Dah ler kena bayar RM 80. Kalau pegi klinik atau hospital kerajaan, free jer. Nurse kerajaan sekarang ni pun dah ramai yang ok. 

Kelas academic writing yang sesudah daftar terus kena masuk kelas. Tak der orang lagi. aku pegi awal sebab nak cari kelas. Berpusing-pusing, naik turun tangga baru jumpa ni. 

Kelas research methodology, pun aku antara 3 student yang datang awal, sebabnya ialah kelas pertama mestilah awal nak cari kelas dulu. Location dewan kuliah ni memang best sebab parking belakang dewan jer

Mencari bahan la tu kononnya. Berlagak bagai. Cuba korang tengok kat atas buku tu. Nan adoo.. Putih bersih. Suci lagi murni. 

Sunday, August 5, 2012

Semoga Ramadhan Kali Ini Lebih Bermakna



Salam Ramadhan untuk kawan-kawan yang beragama Islam semua. Masih ada baki 15 hari lagi untuk kita menikmati dan menghayati Ramadhan untuk tahun ini.

Semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna untuk kita semua. Tak terlambat lagikan untuk aku wish korang semua. Kalau ada salah silap ayat tertaip di blog ini harap dimaafkan yer.

Tahun ni Ramadhan aku agak sibuk sikit. Kebetulan bapa mertua pulak kurang sihat bermula dari hari kedua Ramadhan, jadi kami agak banyak kali juga berulang alik ke Balik Pulau. Dengan rumah pun tak kemas habis. Rasa macam dah tak tau nak kemas. Macam nak buang semua barang jer beli baru (ehhh...laki kau tu jutawan ker? kahkahkah. mau kena sound 100 hari 100 malam kalau bagi idea macam tukan). Proposal dah 90% siap, tajuk di tukar oleh supervisor pada saat akhir. Ada sebab dan rezeki juga di atas pertukaran tajuk ini. Itu nanti-nantilah aku citer ya.

Macam mana dengan Ramadhan korang?







Wednesday, June 13, 2012

Monday, June 11, 2012

Korang Kenal Tak Ini Budak?


Amacam? Ada gaya tak? Hehehe...


Bergaya di atas kerusi pinjam dari tuan kedai buah-buahan di Padang Besar. Terus di takle oleh anak gadis tuan kedai.

Macho tak? Huhuhu.. tu bukan buat gaya macho. Tapi buat muka sedih sambil memandang kedai mainan kat depan. Ayat-ayat godaan dia tak berjaya nak leburkan hati ibu yang kedekk.



Superstar? Ni kerja Azim dan ayah time boring sebab ibu membuta. Malas nak layan dua beranak yang suka berlawak dan berkuntau. Jadi ikut suka korang la. Jangan sepah lebih2 sudah, kang ada yang ada yang kena tahan telinga sambil muka tersengih dengan public speaking dari ibu.


Hensem tak saya? Ni gaya terbaru yang dia suka buat. Pastu tanya enchem?
Aku mesti tanya balik sapa yang hensem?
Penuh yakin menjawab -Ajimmmm

Bila dah tengok korang rasa kenal tak budak ini. Budak ni sekarang sudah panjang akalnya. Dah banyak kerenah dan banyak permintaan. Pandai buat lawak pulak tu sekarang ni. Hobi terbaru dia adalah memakai cermin mata hitam. Kalau berjalan dia akan bawa cermin mata hitam dia. Tapi aku tak bagi pakai lama-lama sangat. Aku suruh dia pegang jer. Dah 3 cermin mata yang dia ada. Semua hasil dia mempau ayah dia di stesyen minyak. Tempat favourite Azim adalah kedai minyak. Mungkin sebab dia rasa kat kedai minyak tu ada banyak barang yang dia suka kot. Asal nak keluar jer ajak pegi kedai minyak. Dah nampak kedai minyak dia suruh singgah la pulak. So, bila nampak kedai minyak kitaorang akan cakap, ok Azim kata bye-bye kedai minyak, lain kali Azim datang yer. Hehehe, dengan muka terpaksa rela dia pun melambai-lambai kedai minyak, byeeeeeeee (dengan muak yang sedih).

Tak dapek ler ibu ngan ayah ko nak bawa gi kedai minyak selalu. Asyik kena pau jer. Udah lah barang-barang di kedai minyak lebih mahal dari kedai biasa.







Saturday, June 9, 2012

Jadual EURO 2012


Deman bola sepak dah bermula. Kalau dulu kaum lelaki jer yang layan bola sepak ni. Sekarang ni dah ramai kaum wanita yang turut sama meminati sukan ini. Aku so-so ja. Tapi kalau ikut sejarah kalau time macam ni aku pun nak tak nak mesti tahu juga serba sikit sebabnya adik-adik aku dan suami pasti lebih bercakap pasal bola. TV pun sebolehnya dikuasai oleh kaum lelaki pada masa ini. Aku dulu layan jugak bola sepak ni tapi entah kenapa sekarang ni (4 thn kebelakangan ni) macam kurang layan sikit la.

Adik-adik aku ngan Ayah Azim dah lama sibuk cari jadual perlawanan untuk EURO 2012 ni. Terutama pak ngah Azim. Pak Ngah Azim memang kaki bola sungguh. Aku rasa kalau dia masuk kuiz pasal bola semua dia boleh jawab kot. Jom aku share kat korang sama jadual perlawanan EURO 2012 ni yer. Korang tak layan bola? Alahhh tak perlah, jom la tengok2 jer jadual ni. Cantik tau berwarna-warni. Kihkihkih...



Kredit untuk beritasemasa.com

Sesiapa yang nak tempek kat dinding boleh ambil yang ini.


korang tak nampak? boleh klik di sini

Kalau jadual mengikut kumpulan pulak. Mana team yang jadi favourite korang? Cer tengok

Jadual Perlawanan EURO 2012 (Kumpulan A)


  • 8 Jun – 11:55 malam - POLAND vs GREECE
  • 9 Jun – 02:45 pagi - RUSSIA vs REP CZECH
  • 13 Jun – 02:45 pagi - POLAND vs RUSSIA
  • 13 Jun – 11:55 malam - GREECE vs REP CZECH
  • 17 Jun – 02:45 pagi - GREECE vs RUSSIA
  • 17 Jun – 02:45 pagi - REP CZECH vs POLAND


Jadual Perlawanan EURO 2012 (Kumpulan B)

  • 9 Jun – 11:55 malam - BELANDA vs DENMARK
  • 10 Jun – 02:45 pagi - JERMAN vs PORTUGAL
  • 13 Jun – 11:55 malam - DENMARK vs PORTUGAL
  • 14 Jun – 02:45 pagi - BELANDA vs JERMAN
  • 18 Jun - 02:45 pagi - PORTUGAL vs BELANDA
  • 18 Jun – 02:45 pagi - DENMARK VS JERMAN


Jadual Perlawanan EURO 2012 (Kumpulan C)

  • 10 Jun – 11:55 malam - SEPANYOL vs ITALI
  • 11 Jun– 02:45 pagi - IRELAND vs CROATIA
  • 14 Jun – 02:45 pagi - SEPANYOL vs IRELAND
  • 14 Jun – 11:55 malam - ITALI vs CROATIA
  • 18 Jun – 02:45 pagi - CROATIA vs SEPANYOL
  • 18 Jun – 02:45 pagi - ITALI vs IRELAND


Jadual Perlawanan EURO 2012 (Kumpulan D)

  • 11 Jun – 11:55 malam - PERANCIS vs ENGLAND
  • 12 Jun – 02:45 pagi - UKRAINE vs SWEDEN
  • 15 Jun – 11:55 malam - SWEDEN vs ENGLAND
  • 16 Jun – 02:45 pagi - UKRAINE vs PERANCIS
  • 20 Jun – 02:45 pagi - ENGLAND vs UKRAINE
  • 20 Jun – 02:45 pagi - SWEDEN vs PERANCIS





Kepada peminat-peminat bola sepak. Selamat menonton dan menikmati Euro 2012.




Sunday, June 3, 2012

Kenduri Kawin....Kompang dipalu pengantin baru

Asal cuti sekolah jer mesti banyak terima jemputan kawin. Paling banyak aku terima semalam (2 jun 2012) tapi tak boleh attend sebab ada saudara dekat aku yang kenduri. Seronok wei dapat makan nasi minyak, ayam masak merah, gulai daging, kurma dan air sirap (air sirap rumah kenduri mmg best). Marbeless sungguh. Kena pulak semalam pihak pengantin sediakan banyak kuih-muih. Wah-wahh..dengan penuh tak malu berulang kali pegi makan ker. Hahahaha....

Makan kenduri sambil dengar lagu kawin. Pastu sibuk nak tengok pengantin (macam dah tak boleh tengok lain kali). Dah nama kenduri kawin mestilah nak tengok pengantin kan.

Jom layan lagu kenduri kawin kat sini. Hehehe...feeling2. Lagu favourite aku nih.

Dalam banyak-banyak menu. Menu old school (ayam masak merah + dalca/gulai daging + acar timun + kurma + air sirap) jugak yg menjadi kegemaran aku. Makan pulak bawah khemah. Kalau kenduri kawin dalam dewan2 yang besar yang penuh formal macam tak feel sangat lah. Hehehe..makan pun rasa tak puas. Tetiba mood kemaruk nasi kenduri pulak. Hai lah pak ngah Azim cepatlah kawin (hehehehe...tak senonoh betul kan, suruh org kawin semata-mata nak makan nasi kenduri puas-puas).


Nasi kenduri dari pak cik google





Friday, May 18, 2012

Rindu Sama Korang





Dah lebih 2 minggu tak sempat berblog. Sibuk sungguh. Sibuk aku ni datang bermusim. kalau time ada keja tu bertimpa-timpa kalau free tu free la sangat.

Rindula sama korang. Tak sempat nak jalan-jalan lawat korang. Pada yang datang tu kalau aku tak sempat balas tu minta maaf nanti bila kau dah free sikit aku laju-laju gi jenjalan rumah korang yer.

Aku sekarang dalam fasa akhir sebelum pindah masuk rumah comel kami tu. Uihhh baru aku tau banyak nyer keja bila renovate rumah. Pening kepala nak handle kontraktor lagi, dengan nak beli barang lagi. Duit laju nyer keluar sungguh mengondolkan poket. Kalau pasal bab pindah rumah ni memang aku agak insaf kalau nak buat. Ini kali ke tiga aku berpindah. Letih kot pindah rumah. Tapi kali ni kalau berpindah mungkin kekal (kerana sekarang menetap balik di kg dan kami berpuas hati dengan tenpat kerja sekarang). Paling tidak pun untuk 10 tahun (cehh..perasan ada hati nak pindah lagi..kalau laki aku baca mau dia lekuk kepala sambil bisik kat telinga aku "manyak duitttt").

Dan juga sekarang ni aku tengah cari bahan untuk proposal master aku. Dah jumpa bakal supervisor dan bincang-bincang tajuk dan kos. Aku ingat nak buat full time, tapi bos dan juga merangkap supervisor aku kata masa dan peraturan tak banyak beza. Cuma yang berbeza kos nya kurang sikit daripada full time. Haruslah aku ambik part time kan jimat RM200 utk satu semester. Sekarang terpaksa usung anak ke library, sungguh janggal dan agak mencabar. Ok, Azim memang agak menurut kata dan boleh duduk diam. Cuma volume tu dia tak pandai nak control. Last-last aku angkut buku-buku pegi ke ruangan kanak-kanak. Lega aku bersila di situ dan Azim boleh bebas bermain. Tapi kejap jer pastu dia suruh aku tutup buka dan main dengan dia. Adussss... Cabaran ni untuk lebih berjaya. Korang kalau ada tau pasal artikel kecerdasan emosi dan technostress kongsi-kongsi ler dengan aku yer. Doakan aku selesai dengan flying colours yer. Berdebar ni nak jadi student balik tapi suasana dia mesti dah tak sama macam dulu. Dulu zaman kanak-kanak riang.

Mula-mula kusyuk lahh..Perut dah tak leh cover dah...Huhuhu

Lepas 15 minit dia dah mula main susun-susun buku atas meja

Pusing-pusing ..pastu sibuk duk panggil aku ma..ma kipas ma.. (kadang-kadang dia panggil aku ibu kadang-kadang ma)

Azim dah mula simpan buku-buku balik. Dia suruh aku juga tutup buku..Utup a'aaa..Utup a'aaa


Last-last kami di sini. Lepas Azim masuk banyak juga budak-budak yang datang apa lagi misi aku nak ajak dia balik bukan mudah. Dah buka forum tingkap pulak dengan ibu-ibu yang duk menunggu anak-anak. Dua jam aku tunggu dia main. Makan pun tak mau.


Jangan lupakan aku yer sepanjang ketiadaan aku (huhuhu)...Dont forget me ya...:)
Aku akan kembali