Friday, April 23, 2010

BAHAGIA ITU BILA MEMBAHAGIAKAN.... Part 2/3

Bila kereta ‘aneh’ sedikit bunyinya, cepat-cepat diusung ke workshop,
dibetulkan enjin, ditunekan semula bunyinya. Tetapi isteri yang batuk-batuk,
lenguh dan sembab dibiarkan… alasannya, itu memang adat, badan dah tua. Itu
belum dikira yang ‘workoholic’ – bekerja siang, malam, tak kenal cuti dan
rehat… Bila ditanya mengapa begitu sibok? Dia menjawab, demi isteri.
Padahal, dia bekerja sampai ke tahap mengabaikan isteri. Aneh juga, ada yang
mencari duit sampai tidak sempat menikmati duit. Bila duit sudah terkumpul,
kesihatan sudah tergadai, rumah tangga sudah berkecai, isteri telah terabai.
Sesetengah bertanya? Bagaimana kita boleh mengharagai pasangan kita.
Insya-Allah, bila ada kemahuan pasti ada jalan. Dunia akan menyediakan jalan
kepada orang yang mempunyai tujuan. Kata orang, kasih, cinta dan sayang
umpama aliran air, sentiasa tahu ke arah mana ia hendak mengalir. Mulakan
dengan memandangnya dengan pandangan kasih… mungkin wajah isteri kita sudah
kedut, tetapi rasakanlah mungkin separuh “kedutan” itu kerana memikirkan
kesusahan bersama kita. Mungkin uban telah penuh di kepala suami kita,
tetapi uban itu “mercu tanda” pengorbanannya membina rumah tangga dan
keluarga kita.




Itulah pandangan mata hati namanya. Kalau dulu semasa awal bercinta,
pandangan kita dari mata turun ke hati. Tetapi kini setelah lama bersama,
pandangan kita mesti lebih murni. Tidak dari mata turun ke hati lagi, tetapi
sudah dari hati “turun” ke mata. Yang kita lihat bukan “body” tetapi budi.
Yang kita pandang bukan urat, tulang dan daging lagi… tetapi suatu yang
murni dan hakiki – kasih, kasihan, cinta, sayang, mesra, ceria, duka, gagal,
jaya, pengorbanan, penderitaan – dalam jiwanya yang melakarkan sejarahkehidupan berumah tangga bersama kita!
Daripada pandangan mata hati itulah lahirlah sikap dan tindakan. Love is
verb – cinta itu tindakan. Kata penyair bila sudah cinta, ingin dipintal
awan-gemawan untuk dijadikan kerosang di dada isteri, ingin dijadikan
rembulan untuk menjadi lentera teman beradunya, mentari sebagai sinar dalam
duka dan nestanya… Ah, kita tidak payah mengajar cara apabila sudah cinta.
Kerana dalam cinta itu sudah menyala kemahuan.

Mungkin sikaya pulang bersama cincin permata untuk menghargai siisteri.
Atau petani hanya membawa sebiji mangga untuk dimakan bersama sang
“permaisuri”. Buruh yang pulang bersama keringat disambut senyuman dan
dihadiahkan seteguk air sejuk oleh isteri tentunya lebih bahagia dan
dihargai oleh seorang jutawan yang disambut di muka pintu villanya tetapi
hanya oleh seorang “orang gaji”. Begitulah ajaibnya cinta yang dicipta
Allah, ia hanya boleh dinikmati oleh hati yang suci. Ia terlalu mahal
harganya. Intan, permata tidak akan mampu membeli cinta!

1 comment:

oya said...

sweetnya pegang gitu..