Saturday, July 30, 2011

Ramadhan Datang Lagi: Selamat Berpuasa dan Selamat Menyambut Bulan Kemerdekaan

Dah hampir 2 minggu kita semua menyambut ramadhan. Kepada kawan-kawan semua kami sekeluarga ingin mengucapkan selamat berpuasa dan semoga Ramadhan kali ini memberi lebih makna dan keberkatan kepada kita semua. Selamat berterawih kawan-kawan semua. Kali ini kami sambut Ramadhan di Jitra. Walaupun dah berpindah balik ke kampung halaman tercinta. Tempat kami mula bertapak dalam rumahtangga tetap tidak kami lupakan. Kenangan berpuasa di Gombak, Kepong dan Petaling Jaya tetap dalam ingatan. Ohh tidak lupa juga Stesyen Minyak Shell LDP dekat dengan Kelana Jaya, pernah menjadi tempat kami berdua berbuka puasa pada tahun 2007.

Untuk renungan kita bersama (kredit to www.rakanmasjid.com). Syukur kepada Allah kerana kita dapat bertemu Ramadhan lagi untuk kali ini.

MUKMIN yang taat kepada perintah Allah sentiasa bergembira dan merindukan kehadiran Ramadan, bulan agung penuh barkah dan kerahmatan.

Mereka yang masih dipanjangkan usia hingga bersua dengan Ramadan kali ini, sewajarnya bersyukur. Ia adalah tanda Allah masih memberi peluang untuk mereka memperbaiki diri, memperbanyak dan menambah bekalan berupa amal soleh buat persiapan menuju alam baqa.

Kesempatan yang sangat bernilai ini, sewajarnya direbut, sekali gus berazam untuk melaksanakan puasa dengan sebaik-baiknya.

Ramadan menurut istilah Arab bererti terlampau panas. Mengikut sejarah, sewaktu ingin meminda nama bulan daripada bahasa lama kepada yang baru, bangsa Arab menamakannya mengikut suasana/keadaan yang berlaku pada sesuatu masa tertentu.

Kebetulan suasana waktu itu terlalu panas, maka dinamakan Ramadan. Dapat juga difahami bahawa dengan makna ‘terlalu panas’ itu, maka Ramadan dapat membakar segala dosa orang mukmin menerusi pelbagai ibadat yang dilaksanakan dengan penuh ikhlas seperti berpuasa dan solat Tarawih.

Nabi Muhammad bersabda maksudnya: “Sesiapa berpuasa pada Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, diampunkan dosanya yang telah lalu.”(Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad).

Alangkah ruginya jika kebanyakan umat Islam mensia-siakan atau tidak memanfaatkan kedatangan Ramadan yang sebentar itu dengan kerja kebajikan. Perkara ini kerana pada bulan inilah Allah memberi banyak keistimewaan iaitu berupa ganjaran pahala berganda bagi setiap amalan baik yang dikerjakan. Ia tidak dikurniakan Allah pada bulan lain.

Dalam hal ini, Rasulullah bersabda :“Sekiranya manusia mengetahui kebajikan yang terkandung dalam Ramadan itu, tentulah mereka mengharap-harap supaya Ramadan berlaku sepanjang tahun.” (Hadis riwayat Ibnu Abid Dunya).

Ramadan hadir membawa rahmat serta maghfirah (keampunan) Allah. Allah akan mengurniakan pahala yang berlipat ganda bagi setiap ibadat wajib yang dilakukan pada Ramadan. Satu ibadat wajib pada Ramadan menyamai 70 ibadat wajib di luar Ramadan, manakala ibadat sunat akan mempunyai nilai yang sama dengan ibadat wajib apabila dilakukan dalam Ramadan. Malah, segala bentuk kebajikan sekecil dan seringan mana pun, jika dilakukan dengan ikhlas pada Ramadan mengandung nilai ibadat.

Peluang umat Islam mengaut ganjaran pahala yang Allah tawarkan sangat terbuka luas melalui pelaksanaan pelbagai ibadat yang menjanjikan pahala berganda. Ini seperti membaca dan bertadarus al-Quran, berzikir, bersedekah, beriktikaf, berselawat, solat Tarawih serta ibadat sunat lain, selain solat fardu.

Ramadan adalah bulan yang dimakbulkan doa, bulan Allah memberi pengampunan, bulan penyucian diri, malah tidur dan tarikan nafas seorang mukmin diberi pahala ibadat.

Berdasarkan beberapa penjelasan hadis, dapat disimpulkan bahawa Ramadan adalah bulan ibadat iaitu bulan yang pada satu sisi mampu memperbanyak pelbagai nilai positif atau pahala. Pada sisi lain mampu pula menghanguskan pelbagai nilai negatif atau dosa.

Pengumpulan pahala secara besar-besaran seiring dengan penghapusan dosa itu, dihasilkan menerusi pelbagai bentuk ibadat dan amalan soleh, baik yang berbentuk wajib mahupun sunat.

Dua ibadat yang menjadi inti amaliah Ramadan ialah puasa dan solat Tarawih. Dua jenis ibadat itu mampu menawarkan kedua-dua sisi di atas iaitu pengumpulan pahala dan penghapusan atau pembakaran dosa.

Oleh kerana puasa dan solat Tarawih adalah ibadat istimewa pada Ramadan, maka apabila ia dilakukan dengan sempurna dan ikhlas, seseorang itu akan meraih ganjaran pahala berlipat ganda. Ternyata pada masa sama, hasil pelaksanaan puasa dan ibadah Tarawih, sekali gus juga menghapuskan dosa

Perkara itu sesuai dengan sabda Nabi bermaksud: "Ramadan adalah bulan yang Allah telah memfardukan atasmu berpuasa dalamnya, dan aku telah mensunahkan bagimu berdiri dan beribadah pada malamnya. Barang siapa berpuasa dan bersolat lail (Tarawih) kerana iman dan kerana mengharapkan Allah, nescaya dia keluar daripada dosanya, bagaikan bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya.”(Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah daripada Abu Hurairah).

Selain itu, bulan Ogos juga merupakan bulan kemerdekaan bagi negara kita. Sama-samalah kita bersatu pada dalam menjaga maruah dan kemerdekaan negara kita ini. Sama-samalah juga kita berdoa semoga bumi tercinta ini sentiasa aman damai, ekonomi negara yang stabil dan makin meningkat, rakyat bersatu padu dan bebas dari anasir luar yang mampu merosakan kedamaian dan kemakmuran negara kita. Tema hari kebangsaan tahun ini adalah 1 Malaysia : Transformasi Berjaya Rakyat Sejahtera.

No comments: