Hidup bukan mudah tetapi hidup itu indah jika kita tahu menghargai erti kehidupan
Wednesday, May 18, 2011
Pemilik Bersama: 40 Kesilapan Mendidik Anak-anak
Cabaran dalam mendidik anak-anak. Kadang-kadang bila melihat sesuatu terjadi kita jadi terfikir mengapa perkara ini boleh terjadi. Mendidik anak-anak zaman moden ini pendekatan yang diambil adalah berbeza dari pendekatan zaman datuk nenek kita. Bukan bercakap bahawa mereka tidak baik dan tidak pandai tapi peredaran masa telah membawa perubahan dalam pemikiran dan kehidupan anak-anak kita. Dalam membesarkan anak aku cuba untuk memberi ruang untuk anak menerokai potensi diri dan ruang diri sendiri. Tapi kita masih perlu untuk membimbing. Sedaya upaya aku mengelak untuk aku meninggikan suara dan menengking. Bukan aku terlalu memberi muka kepada anak tetapi aku rasa pada zaman yang serba moden dan mencabar ini kita perlu lebih pandai untuk berinteraksi dengan anak-anak. Semoga apa yang kita ingin sampaikan didengari dan difahami dalam keadaan yang tenang tanpa perlu ada ketegangan. Memberi dan menerima dalam hubungan ibu dan anak adalah lebih baik dari bersifat diktator. Aku sendiri bila fikirkan bosannya kalau jadi seorang ibu yang hanya suka mengarah dan memarahi tanpa cuba untuk berdiplomasi dan memahami. Memangla anak aku masih kecil tapi dari kecil, mahalan dari dalam perut lagi hubungan dan kasih sayang antara anak dan ibu itu telah bermula. Aku lebih suka bersikap telus dan berinteraksi dengan apa yang aku tidak gemari. Begitu juga dalam hubungan suami isteri. Aku lebih senang untuk meluahkan apa yang aku tidak suka dan aku nyatakan sebabnya. Disitu suami boleh menilai dan memikirkan. Kalau dia tidak sependapat kita boleh berbincang. Walaupun tegang sekurang-kurangnya perkara itu dapat diselesaikan dan tidak akan ada rasa tidak puas hati dikemudian hari.
Bila memandang Azim setiap pagi, aku selalu berfikir. Apalah guna kalau aku hanya memberi arahan sahaja pada Azim. Azim no..azim cannot..azim, u must do this..semua arahan diberi tanpa sebab dan musabab. Kalau aku pun aku akan rasa argghhhh....Aku juga takut seandainya aku terbawa-bawa sikap diktator ini sehingga Azim besar dan dewasa. Aku rasa lebih baik kalau aku bersikap memberi arahan sambil menerangkan sebab serta akibat. Walaupun dia masih kecil dan tak faham biarlah sekurang-kurangnya aku belajar untuk berinteraksi dengan dia dan sehingga dia besar akan terus wujud interaksi yang baik antara aku dan dia. Aku bukanla terlalu sempurna tetapi aku mengharapkan aku adalah orang yang paling rapat dengannya. Aku adalah ibu, teman dan kawan untuknya. Aku harap sehingga dia besar hubungan komunikasi yang baik antara ibu dan anak akan terus kekal.
Aku seorang ibu yang baru belajar tentang dunia keiibuan. Kalau ada salah dan silap betulkan aku yer kawan-kawan.
40 kesilapan mendidik anak
oleh Dr. Hassan Ali
1. Pemilihan jodoh tanpa memperhitungkan mengenai zuriat
2. Perhubungan suami isteri tanpa memperhitungkan mengenai zuriat
3. Kurang berlemah lembut terhadap anak-anak
4. Memaki hamun sebagai cara menegur kesilapan anak-anak
5. Tidak berusaha mempelbagaikan makanan yang disajikan kepada anak-anak
6. Jarang bersama anak-anak sewaktu mereka sedang makan
7. Melahirkan suasana yang kurang seronok ketika makan
8. Membeza-bezakan kasih sayang terhadap anak-anak
9. Kurang melahirkan kasih sayang
10. Sering mengeluh di hadapan anak-anak
11. Tidak meraikan anak-anak ketika mereka pergi dan pulang dari sekolah
12. Tidak mengenalkan anak-anak dengan konsep keadilan
13. Tidak memberatkan pendidikan agama di kalangan anak-anak
14. Tidak terlibat dengan urusan pelajaran anak-anak
15. Tidak memprogramkan masa rehat dan riadah anak-anak
16. Tidak menggalakkan dan menyediakan suasana suka membaca
17. Mengizinkan anak-anak menjamah makanan dan minuman yang tidak halal
18. Tidak menunjukkan contoh tauladan yang baik di hadapan anak-anak
19. Jarang meluangkan masa untuk bergurau senda dengan anak-anak
20. Terdapat jurang komunikasi di antara ibubapa dengan anak-anak
21. Tidak menggunakan bahasa yang betul
22. Suka bertengkar di hadapan anak-anak
23. Sentiasa menunjukkan muka masam di hadapan anak-anak
24. Tidak membimbing anak-anak supaya mematuhi syariat
25. Memberi kebebasan yang berlebihan kepada anak-anak
26. Terlalu mengongkong kebebasan anak-anak
27. Tidak menunaikan janji yang dibuat terhadap anak-anak
28. Tidak menunjukkan minat kepada aktiviti anak-anak
29. Tidak memupuk semangat membaca di kalangan anak-anak
30. Tidak berminat melayan pertanyaan atau kemusykilan anak-anak
31. Tidak memberi perhatian terhadap buah fikiran anak-anak
32. Lambat memberi penghargaan kepada anak-anak
33. Kerap meleteri sesuatu kesilapan yang dilakukan anak-anak
34. Hukuman yang tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan
35. Sering mengancam dan menakutkan anak-anak
36. Menghukum tanpa menyatakan kesalahan yang dilakukan
37. Tidak konsisten dalam menjatuhkan hukuman ke atas anak-anak
38. Memberi nasihat yang sama kepada anak-anak
39. Tidak tegas mendidik anak-anak
40. Tidak menggalakkan anak-anak hidup bekerjasama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
wah bgus info ni untuk guru
Post a Comment